JERANTUT 16 Nov. – Seorang calon Sijil  Pelajaran Malaysia (SPM) yang sedang ‘bergelut’ menjawab soalan kertas  Bahasa Inggeris 2, terpaksa menahan kesakitan apabila pahanya disengat  seekor tebuan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temin di sini semalam.
Kejadian berlaku pukul 11 pagi ketika Mohd. Irfan Abdul Khalid, 17, sedang leka menjawab soalan peperiksaan kertas itu yang bermula pukul 10.30 pagi.
Pelajar itu dikatakan tidak menyedari seekor tebuan tiba-tiba muncul dan menyengat pahanya.
Ibu pelajar terbabit, Normah Hasim, 61, berkata, selepas disengat, anaknya mula berasa sakit namun dia sempat menepis serangga itu dan membunuhnya.
“Sewaktu menahan kesakitan, anak saya sempat menjawab soalan kerana bimbang dia tidak dapat menghabiskan kertas peperiksaan itu.
“Namun, beberapa minit kemudian, anak  saya mendapati air keluar dari telinga dan hidungnya menyebabkan dia  meminta kebenaran untuk keluar ke tandas,” katanya ketika ditemui di  rumahnya di Kampung Bukit Dinding dekat sini semalam.
Normah memberitahu, Mohd. Irfan  bagaimanapun tidak memaklumkan kejadian itu kepada guru pengawas  peperiksaan sehingga badannya kian lemah dan segera dibawa oleh guru ke  Hospital Jerantut.
Selepas menjalani pemeriksaan di  hospital, pegawai perubatan memaklumkan anaknya mengalami alahan namun  tidak serius dan boleh kembali ke sekolah selepas diberi suntikan dan  ubat.
Kata ibu tunggal itu lagi, anaknya  pernah disengat tebuan sebelum ini tetapi kesan yang paling teruk kali  ini, dia mengadu badannya kesejukan selain hilang selera makan.
“Saya berterima kasih kepada guru yang  segera menghantar anak saya ke hospital dan berharap agar anak saya  dapat menamatkan peperiksaan SPM kerana ini melibatkan masa depannya,”  kata Normah.
Sementara itu, Pengarah Hospital  Jerantut, Dr. Devaraj Salam berkata, pelajar itu mengalami alahan akibat  sengatan tersebut iaitu beberapa bahagian badannya menjadi bengkak dan  kemerahan termasuk di mata dan lengan.
 

 

1 comments:
kcian...
Post a Comment