Kongsikan Entri Kami

Saturday, 10 September 2011

Gosip : Yuna Memilih Untuk Menetap di Amerika Syarikat


Sebagaimana yang semua telah sedia maklum, penyanyi Yunalis Zarai atau lebih dikenali sebagai Yuna telah berulang alik dari Amerika Syarikat (AS) sejak tahun lalu.

Bukan sekadar kunjungan biasa, kehadiran Yuna ke sana nampaknya telah membuahkan hasil apabila akhirnya dia telah menandatangani kontrak selama dua tahun bersama salah satu syarikat rakaman indie antarabangsa, Fadel Laber.

Atas persetujuan itu, Yuna bakal melahirkan album Inggeris penuh pada awal tahun depan yang akan menampilkan kerjasama bersama-sama beberapa nama hebat seperti Pharrell Williams dan Guy Sebastian.

Malah demi memastikan langkahnya tidak tersekat, penyanyi yang popular dengan lagu Dan Sebenarnya itu telah memilih untuk bermastautin di Los Angeles, AS dalam jangkamasa yang agak panjang.

Bercakap kepada pihak media sempena majlis pelancaran In-Touch with Canon dan majlis makan malam Aidilfitri di Restoran Saloma di sini semalam, Yuna berkata langkah berkenaan akan memudahkan lagi proses rakaman albumnya.

"Saya telah berada di tanah air sejak lima hari sebelum Aidilfitri dan akan pulang ke LA tidak lama lagi. Rasanya lebih baik saya berada di sana saja kerana saya sudahpun berjaya mendapat visa kerja di sana," katanya yang manis berkebaya merah.

Masih belum pasti bilakah dia akan pulang ke tanah air, menurut Yuna buat masa ini dia masih lagi sibuk menulis dan merakamkan beberapa buah lagu sebelum disenarai pendek ke dalam albumnya khusus untuk pasaran AS dan juga Eropah.

Jelas Yuna, dia cukup beruntung kerana dia tidak perlu mengeluarkan duit poketnya sendiri untuk menjalani kekhidupan di sana kerana serba serbi telah ditanggung sepenuhnya oleh syarikat rakaman terbarunya itu.

" Di LA saya tinggal sendirian di tengah-tengah pusat bandar, di mana saya syarikat rakaman telah menyediakan saya sebuah pangsapuri untuk saya tinggal. Mereka juga menyediakan wang belanja untuk saya setiap bulan.

"Aktiviti saya di sana sibuk dengan menulis dan merakamkan lagu di dalam studio dan kalau ada masa lapang saya akan mengelilingi bandar dengan menaiki basikal saya.," katanya yang kelihatan kurang sihat.

Namun begitu, menurut Yuna dia tidak akan terus berhenti daripada menghiburkan peminatnya di tanah air yang telah banyak memberi sokongan kepada perjalanan seninya selama ini.

Meskipun berada di sana, dia akan tetap berkomunikasi bersama-sama peminatnya melalui Twitter atau laman sosial Facebook dan berkongsi apa juga pengalaman yang diperolehinya di sana bersama-sama peminatnya di Malaysia.

"Bukannya mudah untuk tinggal di sana, tapi saya pasti peminat saya memahami kerja saya. Kami sering berkongsi gambar dan bertukar-tukar pengalaman dengan segala kemudahan teknologi yang ada.

"Saya juga akan memastikan, setiap 6 bulan pasti ada aktiviti untuk peminat saya di Malaysia. Seperti mana sekarang, bila saya balik saya pastikan jadual saya penuh dengan aktiviti bersama media dan peminat. Itu semua diuruskan oleh pihak pengurusan saya di sini," katanya dengan senyuman.

Selain meraikan lebaran bersama keluarga, kepulangan Yuna nampaknya akan lebih bermakna apabila beliau akan beraksi di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) sempena siri konsert musim terbaru orkestra berkenaan pada 12 dan 13 September ini.

Bercerita mengenai perkembangan album terbarunya, Yuna berkata dia masih lagi sibuk dalam proses pembikinan album berkenaan.

"Setakat ini saya sudahpun menyiapkan 30 buah lagu dan saya masih lagi menulis lagu-lagu baru. Bagaimanapun saya masih belum memastikan lagu yang sesuai untuk diselitkan dalam album Inggeris saya nanti.

"Memang saya sibuk menulis lagu dengan Pharrell, tapi kami masih tak jumpa lagi lagu yang terbaik sebagaimana lagu Dan Sebenarnya. Tunggu sajalah," katanya.

2 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...