Kongsikan Entri Kami

Friday, 12 August 2011

Cool : [Video] Wan Kuzain Wan Kamal,, "Malaysian Wonder Kid" di USA


KUALA LUMPUR – Di saat Malaysia ketandusan pemain sehebat bintang Argentina, Lionel Messi, licik seperti bintang Portugal, Christiano Ronaldo atau mantap seperti bintang Brazi, Ronaldinho, Wan Kuzain Wan Kamal, 13, merupakan ‘sebutir permata’ yang menyinar di negara orang.

Dilahir dan dibesarkan di Amerika Syarikat (AS), Wan Kuzain digelar ‘Malaysian Wonder Kid’ apabila mempamerkan kelincahan sehebat Ronaldo, kawalan bola sesempurna Messi dan mampu merancang permainan sehandal Ronaldinho di laman Youtube.

Menonton sendiri aksi Wan Kuzain di padang melalui youtube, meremang bulu roma penulis dengan persembahannya mengelecek rakan-rakan ‘mat saleh’ sebaya yang lebih besar fizikal tubuh badannya dan menjaringkan gol-gol menarik!

Timbul persoalan di dalam benak penulis, apakah budak ini merupakan masa depan bola sepak negara yang sering tumpul dan terkandas di awal atau pertengahan jalan menuju ke pentas antarabangsa, Piala Dunia?

Sayangnya, meskipun Wan Kuzain Wan Kuzain yang lahir pada September 1998, berasal-usulkan dari negara ini, ‘permata’ itu berkilauan di negara orang, apatah lagi ia jauh nun di negara termaju dunia, Amerika Syarikat.

Apa kata kalau Persatuan Bolasepak Kebangsaan (FAM) secara serius menghubungi ibu bapa kanak-kanak ini untuk bekerjasama dan menjadikannya sebagai anak angkat persatuan itu?

Penulis berpendapat, kanak-kanak istimewa ini tidak punya banyak masalah untuk digilap FAM untuk mewakili negara pada masa akan datang dan dia sangat berpotensi untuk menjadi seorang lagi lagenda bolasepak negara selepas SuperMokh, Allahyarham Mokhtar Dahari.

Mengenai status kewarganegaraan, penulis percaya bahawa Wan Kuzain berstatus warganegara Malaysia memandangkan ayahnya Wan Kamal berasal dari negara ini dan cuma menetap di AS setelah mengahwini seorang wanita warga negara itu.

Lagi pun, tentunya tidak menjadi masalah bagi pihak Kerajaan untuk memberikan kewarganegaraan kepada Wan Kuzain sekiranya kanak-kanak hebat ini berpotensi untu mengharumkan nama negara ini di peringkat akan datang.

Seharusnya, Wan Kuzain dibiarkan meneruskan kehidupannya di AS untuk pendedahan yang lebih banyak dan mungkin FAM mampu menguruskan agar kanak-kanak ini dilatih oleh mana-mana kelab gergasi bolasepak dunia yang lebih sempurna latihan, peralatan dan kepakaran jurulatihnya.

Setelah Wan Kuzain meningkat remaja dan mencecah umur 18 tahun, bolehlah FAM berkira-kira untuk membawanya pulang ke Malaysia untuk menjalani latihan bersama skuad kebangsaan, Harimau Malaya, dan mewakili negara.

Penulis berpendapat, peminat-peminat bolasepak negara tidak mahu lagi melihat persembahan skuad kebangsaan terbantut dipertengahan jalan sedangkan prestasi Malaysia cukup membanggakan di era Allahyarham Mokhtar Dahari dahulu.

Ketika itu, lagenda bolasepak dunia, Maradona begitu mengkagumi kehebatan SuperMokh dan pasukan kebangsaan kita, malah pasukan bolasepak Korea Selatan kerap diperbudak-budakkan oleh Allahyarham serta rakan-rakannya.

Namun kini, prestasi Korea Selatan jauh meninggalkan Malaysia di mana pasukan kebangsaan negara itu bukan saja layak ke Piala Dunia, malah mereka pernah berjaya ke peringkat separuh akhir memburu piala menjadi rebutan dunia empat tahun sekali itu.

Kita pernah mengharapkan Titus James Palani yang akhirnya menghilangkan diri dan negara ini pernah terlepas peluang untuk mengikat Shaun Maloney, yang merupakan seorang warga Malaysia yang kini bermain untuk kelab Celtic dan pasukan Kebangsaan Scotland, serta merupakan bekas pemain Aston Villa.
Apakah kita juga akan kehilangan sebutir lagi ‘permata’ untuk mengharumkan nama Malaysia sebagai sebuah pasukan bola sepak Asia yang paling digeruni di peringkat dunia seperti Korea Selatan, Iran, Jepun dan Australia? Itu FAM kena jawab.

Oleh: ZAMZUKHAIRI NOORDIN mynewshub

1 comments:

Anonymous said... Best Blogger Tips

Kalau pasal warganegara, tak perlu dirisaukan.. Sebab ada sahabat saya yang dilahir di amerika, mereka yang di bawah 21 tahun tidak mempunyai warganegara tetap, setelah umur 21 tahun baru kena pilih warganegara..

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...