Tatkala orang lain riang menyambut ketibaan 1 Syawal, lain bagi pemilik nama Mohd Ashraf Muslim atau Ashraf Muslim, 30, apabila dia berdebar menanti hari tersebut kerana bakal diijab kabulkan dengan tunangnya, Noor Dayana Hj. Lokman, 24.
Ashraf yang popular menerusi watak Ustaz Amirul memberitahu, debarannya kian terasa menjelangnya hari bahagia mereka.
"Jujurnya, semakin dekat hari tersebut semakin berdebar rasanya. Bukan apa, ini adalah titik permulaan bagi saya untuk bergelar suami dan punya tanggungjawab yang lebih besar terhadap bakal isteri dan rumah tangga saya kelak.
"Perkahwinan itu nampak mudah dan remeh, tetapi bukan senang sebenarnya mahu membawakan 'title' suami itu. Persediaan secukupnya perlu ada," ujar Ashraf kepada MH Online.
Ashraf dan Dayana yang mengikat tali pertunangan pada 23 April lalu akan dinikahkan oleh Hj Lokman Abd Hamid, bapa Dayana pada malam 1 syawal tersebut.
"Insya-Allah, jika semuanya berjalan lancar saya akan dinikahkan pada sebelah malam selepas waktu Isya', di Masjidil Haram, Mekah.
"Selepas akad nikah, kami akan menunaikan tawaf sunat mengelilingi Ka'abah sebanyak tujuh kali. Ini adalah amalan yang dilakukan para sahabat di zaman Rasulullah SAW," ujarnya yang berangkat lebih awal bersama bakal bapa mentuanya.
Ashraf yang berangkat lebih awal bersama bakal bapa mentuanya pada 17 Ogos akan mengerjakan Umrah terlebih dahulu dan diikuti rombongan daripada kedua-dua pihak seramai 15 orang pada 26 Ogos nanti.
Di majlis akad nikah itu nanti, tidak ada sebarang acara menyarung cincin dan penyerahan hantaran kerana semuanya akan dilakukan di majlis resepsi mereka nanti iaitu pada 17 September 2011 bertempat di rumah pengantin perempuan, di Sri Gombak, Gombak.
Selepas acara di sebelah pihak perempuan, majlis menyambut tetamu di sebelah Ashraf pula akan diadakan pada 24 September bertempat di MiTC, Melaka.
Untuk tatapan peminat setia Ashraf, MH paparkan kad jemputan perkahwinan Ashraf di sebelah pihaknya yang berbentuk Al-Quran sesuai dengan temanya, Islamik.
0 comments:
Post a Comment