Kongsikan Entri Kami

Sunday 29 May 2011

Fakta : Kenapa/Punca dan Bila Kita selalu STRESS giler?

SUDAHLAH kelam-kabut ke tempat kerja kerana terlambat bangun tidur, di perjalanan pula berlaku kemalangan yang menyebabkan kesesakan teruk.

Dalam hati sentiasa berdoa supaya lalu lintas segera pulih bagi membolehkan diri cepat sampai ke pejabat. Namun masa semakin menginjak sedangkan kereta masih tidak bergerak dan ada kala merangkak-rangkak. Aduh, kacau dibuatnya.

Keadaan begini pastinya membuatkan seseorang stres dan membayangkan alangkah baiknya jika kenderaan yang anda pandu boleh terbang bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Ahli psikologi klinikal Gleneagles Kuala Lumpur, Maureen Lim, berkata stres atau tekanan ialah tindak balas fizikal, emosi dan mental terhadap sebarang perubahan atau tuntutan yang melebihi had atau kapasiti kemampuan seseorang. Pelbagai punca menyebabkan stres dan ia berbeza bagi setiap individu atau masa.

Walaupun stres sering dikaitkan dengan sesuatu yang negatif, kadangkala ia boleh memberi motivasi untuk kita memperbaiki diri atau berusaha mencapai yang terbaik.

Kebanyakan individu mengalami tahap stres sederhana yang memerlukan mereka mendapat motivasi tinggi untuk mengekalkan tugas atau menjalani kehidupan seharian.

“Tiada seorang pun terlepas daripada stres. Kanak-kanak berdepan stres apabila perlu membuat persiapan menghadapi peperiksaan, tuisyen mahupun hubungan dengan rakan sebaya.

“Pelajar kolej stres dengan peperiksaan dan masalah kewangan manakala golongan dewasa stres memikirkan mengenai anak, adik-beradik, ipar, kewangan dan kesihatan,” katanya pada Bengkel Tekanan Hidup anjuran Gleneagles Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Kadangkala seseorang bertanya, “Awak okay?” Jawapan yang kita berikan biasanya ialah “okay“ walaupun ada masanya tekanan dihadapi tidak mampu dibendung hingga menyesakkan dada.

Bagaimana keadaan setiap individu apabila berdepan stres? Adakah dia mampu mengurangkan tekanan atau menjadi semakin tertekan?
Antara punca stres ialah tekanan kerja iaitu waktu kerja lebih panjang mahupun timbunan kerja. Masalah hubungan dengan orang di sekeliling sama ada keluarga, jiran, rakan mahupun masyarakat serta persekitaran tempat tinggal yang kurang selesa.

“Anda mungkin tertekan kerana perlu mengejar masa, kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur, terutama ketika hujan lebat, mahupun isu kekeluargaan iaitu berdepan kerenah anak yang kerap berkelahi atau menyepahkan barang.

“Bagi wanita, masalah bentuk badan kadangkala membuatkan anda stres. Apabila pakaian mula ketat hingga membuatkan anda susah hendak bernafas atau menyukarkan pergerakan, itu tanda amaran anda perlu berbuat sesuatu untuk menurunkan berat badan.

“Perubahan ketara bentuk tubuh menimbulkan rasa kurang selesa hingga membuatkan anda berusaha keras mendapatkan bentuk diinginkan,” katanya.

Stres yang positif biasanya dalam bentuk jangka pendek, dapat memotivasikan diri, gembira, meningkatkan produktiviti, meningkatkan pencapaian, selesa, bermanfaat, penting untuk ketahanan fizikal dan mental dan ketajaman minda.

Kesan negatif daripada stres ialah boleh membahayakan, terutama jika melaluinya bagi tempoh yang lama, terpaksa menggunakan tenaga simpanan, menyebabkan tekanan emosi, mengganggu sistem badan dan boleh mengubah cara seseorang itu berfikir.

Menurutnya, wujud dua personaliti individu yang dilanda stres. Individu jenis A ialah yang bercakap laju, tekun bekerja, sangat kompetitif, bersungguh-sungguh untuk menghasilkan kerja terbaik, menghargai masa, sukar untuk beristirahat, mudah marah dan gangguan.

Individu jenis B pula menangani masalah dengan sabar, kurang bersaing dengan orang lain, terlalu memikirkan masalah, kurang tumpuan terhadap had masa, tidak merasa bersalah jika ingin beristirahat, bekerja dengan pantas dan tidak mudah marah.

Bila kita berasa stres?
l Dalam bahaya
l Cuba melakukan banyak perkara dalam satu masa
l Pengurusan masa yang teruk atau menetapkan anggaran masa yang tidak munasabah
l Melengah-lengahkan urusan yang tidak menyenangkan
l Melakukan semua seorang diri
l Tidak sanggup berkata tidak
l Membuat keputusan tergesa-gesa mengikut gerak hati

Perkara biasa terjadi yang mungkin menyebabkan stres
l Seseorang memungkiri janji
l Masalah dengan komputer
l Tidak siap kerja
l Tidak boleh tidur
l Menggunting rambut tetapi dapat gaya tidak diingini
l Ingin mengadakan persembahan
l Memohon kerja
l Tiada masa untuk makan
l Kematian (ahli keluarga, kawan atau haiwan peliharaan)
l Pertengkaran, konflik dengan rakan
l Jadual yang tidak menentu
l Kehilangan sesuatu, misalnya beg duit atau telefon bimbit
l Prestasi kerja/tugas yang buruk
l Tergesa-gesa kerana kesuntukan masa menghadiri temu janji
l Rasa dipinggirkan
l Mengalami kecurian harta benda
l Menghadiri kelas yang membosankan
l Buku kira-kira yang tidak seimbang
l Putus cinta
l Kereta/motosikal rosak atau tayar pancit
l Kesukaran mencari parkir
l Lambat datang haid dan tertunggu kedatangannya
l Terperangkap dalam kesesakan jalan raya

Biasanya stres dikaitkan dengan fenomena melampau, misalnya:
l Terlalu banyak perubahan
l Pengharapan yang terlalu tinggi
l Terlalu banyak maklumat

Antara punca menyebabkan stres
l Perlu membentangkan kertas kerja atau projek — biasanya dihadapi oleh bos
l Kerja — tekanan kerja, bekerja dalam waktu yang panjang atau beban kerja
l Masa — mengejar masa
l Persekitaran — kadangkala kualiti hidup baik, ada masanya tidak, masalah yang ditimbulkan jiran
l Kesesakan lalu lintas — misalnya di Kuala Lumpur, kesesakan perkara biasa dan bertambah buruk jika hujan lebat
l Masalah keluarga — menangani kerenah anak dan isu keibubapaan
l Bentuk badan — terutama wanita, jiwa tertekan apabila tidak mendapat bentuk badan yang diinginkan
l Isu kewangan

Tanda stres
l Fizikal — gangguan tidur, pening, migrain, sakit belakang, lemah sistem pertahanan badan, sakit otot, ulser, cirit-birit, hipertensi, perut kurang selesa, mulut kering dan telapak tangan berpeluh
l Emosi — kelesuan, sedih, gelisah, tegang, rasa tidak layak, marah, suka bertengkar, mengelak berdepan masalah, menafikan ada masalah

Kenapa saya stres?
l Faktor diri — masalah kesihatan, perhubungan, emosi, perubahan gaya hidup dan konflik
l Faktor sosial — persekitaran, pekerjaan, taraf ekonomi
l Faktor trauma — berlaku situasi tidak diingini
l Faktor fikiran — risau dan takut sesuatu yang tidak pasti atau tidak diketahui

sumber : mymetro

2 comments:

Anonymous said... Best Blogger Tips

1st Arsenal

Unknown said... Best Blogger Tips

Doctor,saya stress Jenis orang A Jadi Ada apa apa Cara yang boleh Bantu untuk mengurangkan tekanan stress yang melampau Dan saya jenis mudah marah serta sensitive pada bunyi kuat.

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...