Kongsikan Entri Kami

Saturday, 24 September 2011

Info : Pembohongan Iblis Ketika Sakaratul Maut


Syaitan dan iblis akan sentiasa mengganggu manusia, bermula dengan memperdayakan manusia sejak terjadinya dengan setitik mani sehingga ke akhir hayat seseorang hamba Allah itu. Malah, paling dahsyat ialah sewaktu akhir hayat iaitu ketika sakaratul maut. Iblis mengganggu manusia sewaktu sakaratul maut disusun menjadi tujuh golongan dan rombongan.

Hadis Rasulullah s.a.w menerangkan yang bermaksud: "Ya Allah, aku berlindung dengan Engkau daripada perdaya syaitan di waktu maut."

Rombongan Satu

Datang iblis dengan banyaknya serta pelbagai rupa yang pelik dan aneh seperti emas, perak dan lain-lain, serta sebagai makanan dan minuman yang lazat. Disebabkan orang dalam sakaratul maut itu pada masa hidupnya tamak dan haloba kepada barang-barang itu, maka diraba dan disentuhnya barangan iblis itu, dan pada waktu itu nyawanya terputus dari tubuh. Inilah dikatakan mati lalai dan lupa kepada Allah s.w.t. Inilah jenis hati fasik dan munafik, dan ke nerakalah tempatnya.

Rombongan Dua

Datang iblis kepada orang dalam sakaratul maut itu dengan menyerupai binatang ditakuti seperti harimau, singa, ular dan kala jengking berbisa. Apabila orang dalam sakaratul maut itu memandang binatang itu, dia pun meraung dan melompat sekuat hati. 

Seketika itu juga akan putus nyawa dari badannya. Maka matinya disebut sebagai mati lalai dan mati dalam keadaan lupa kepada Allah s.w.t. Matinya sebagai fasik dan munafik, dan ke nerakalah tempatnya.

Rombongan Tiga

Datang iblis mengacau dan memperdayakan orang dalam sakaratul maut dengan menyerupai binatang yang menjadi minat orang hendak mati itu. Kalau orang itu berminat kepada burung, maka dirupai dengan burung dan jika dia minat dengan kuda lumba untuk berjudi, maka dirupakan dengan kuda lumba (judi). Jika dia minat dengan ayam sabung, maka dirupakan dengan ayam sabung yang cantik. Apabila tangan orang itu meraba-raba binatang kesayangan itu dan waktu tengah meraba-raba itu dia mati, maka matinya dalam keadaan lalai dan lupa kepada Allah S.W.T. Matinya adalah mati fasik dan munafik, dan nerakalah tempatnya. 
 
Rombongan Empat

Datang iblis menyerupai orang paling dibenci oleh orang yang akan mati, seperti musuhnya ketika hidupnya. Orang dalam sakaratul maut itu akan menggerakkan dirinya untuk melakukan sesuatu kepada musuh yang
dibencinya. Waktu itulah maut datang dan matilah ia sebagai mati fasik dan munafik, dan nerakalah tempatnya.

Rombongan Lima

Datang iblis menyerupai sanak-saudara orang hendak mati itu, seperti ayah ibunya, dengan membawa makanan dan minuman. Orang dalam sakaratul maut itu sangat mengharapkan minuman dan makanan, lalu dia menghulurkan tangannya untuk mengambil makanan dan minuman yang dibawa iblis yang
menyerupai si ayah dan ibu. 

Berkata ia dengan merayu: "Wahai anakku, ini saja makanan dan bekalan yang kami bawakan untukmu dan berjanjilah bahawa engkau akan menurut kami dan menyembah Tuhan yang kami sembah, supaya kita tidak lagi bercerai dan marilah bersama kami masuk ke dalam syurga." 

Dia pun sudi mengikut pelawaan itu tanpa berfikir lagi, ketika itu waktu matinya sampai, lalu matilah dia dalam keadaan kafir, kekal ia dalam neraka dan terhapus semua amal kebajikan semasa hidupnya.

Rombongan Enam

Datang iblis menyerupai ulama yang membawa banyak kitab, lalu berkata ia:
"Wahai muridku, lama sudah kami menunggu akan dikau, berbagai ceruk kami pergi, rupanya kamu sedang sakit di sini. Oleh itu kami bawakan kepada kamu doktor dan bomoh bersama dengan ubat untukmu."

Lalu diminumnya ubat itu, maka hilang rasa penyakit itu, kemudian penyakit itu datang kembali. 

Lalu datang pula iblis menyerupai ulama dengan berkata: "Kali ini kami datang kepadamu untuk memberi nasihat supaya kamu mati dalam keadaan baik, tahukah kamu bagaimana hakikat Allah?"

Berkata orang dalam sakaratul maut itu: "Aku tidak tahu."

Ulama iblis kemudian berkata: "Ketahuilah, aku ulama yang tinggi dan hebat, baru kembali dari alam ghaib dan mendapat syurga yang tinggi. Cuba kamu lihat syurga yang disediakan untukmu, kalau kamu hendak mengetahui zat Allah S.W.T hendaklah kamu patuh kepada kami." 

Ketika itu orang dalam sakaratul maut itu memandang ke kanan dan ke kiri dan dilihatnya semua sanak-saudaranya dalam kesenangan syurga (syurga
palsu yang dibentangkan iblis bagi mengacau orang dalam sakaratul maut). 

Kemudian orang dalam sakaratul maut itu bertanya kepada ulama palsu: "Bagaimanakah zat Allah?"

Iblis berasa gembira apabila jeratnya mengena. Lalu berkata ulama palsu: "Tunggu, sebentar lagi dinding dan tirai akan dibuka kepadamu."
Apabila tirai dibuka selapis demi selapis tirai yang berwarna warni itu, orang dalam sakaratul maut itu dapat melihat satu benda sangat besar, seolah-olah lebih besar dari langit dan bumi. Berkata iblis: "Itulah dia zat Allah yang patut kita sembah."

Berkata orang dalam sakaratul maut: "Wahai guruku, bukankah ini benda yang benar-benar besar, tetapi benda ini mempunyai jihat enam, iaitu benda besar ini ada di kirinya dan kanannya, mempunyai atas dan bawahnya, mempunyai depan dan belakangnya. 

Sedangkan zat Allah tidak menyerupai makhluk, sempurna Maha Suci Dia daripada sebarang sifat kekurangan. Tapi sekarang ini lain pula keadaannya dari yang di ketahui dulu. Tapi sekarang yang patut aku sembah ialah benda besar ini." Dalam keraguan itu, Malaikat Maut datang dan terus mencabut nyawanya, maka matilah orang itu dalam keadaan dikatakan kafir dan kekal dalam neraka dan terhapus segala amalan baik selama hidupnya di dunia.

Rombongan Tujuh

Rombongan iblis yang ketujuh ini membabitkan 72 barisan, kerana dia menepati iktikad Nabi Muhammad s.a.w bahawa umat Nabi akan terbahagi kepada 73 puak (barisan).Satu puak saja yang benar (ahli sunnah waljamaah) manakala 72 lagi masuk ke neraka kerana sesat. 

Ketahuilah bahawa iblis akan mengacau dan mengganggu anak Adam dengan 72 macam, yang setiap satu berlainan dalam waktu manusia sakaratul maut. 

Oleh itu hendaklah kita mengajar orang yang hampir meninggal dunia akan talkin:

"Laa Ilaaha Illallah" untuk menyelamatkan dirinya daripada gangguan iblis dan syaitan yang akan berusaha bersungguh-sungguh mengacau orang dalam sakaratul maut.

Bersesuaian dengan sebuah hadis yang bermaksud: "Ajarkan oleh kamu (orang yang masih hidup) kepada orang yang hampir mati itu: Laa Ilaaha Illallah." 

 
Sumber: Akak


4 comments:

Anonymous said... Best Blogger Tips

1st!!!! hehe nk tumpang promote blog http://kongsicom.blogspot.com/

Anonymous said... Best Blogger Tips

Tengok sampai 7 jenis rombongan iblis bawa, bahawasanya dia bersungguh-sungguh untuk menyesatkan anak Adam. Ingatlah kita supaya sentiasa beriman, beramal dan Bertakwa.

::cinderella:: said... Best Blogger Tips

mohon share yaa...

Mr. Idiocracy said... Best Blogger Tips

good info.

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...