Kongsikan Entri Kami

Monday 12 September 2011

Berita : Berkurung untuk 12 Tahun Selepas Kematian Ayahnya di Kuantan


KUANTAN: Akibat terlampau sedih dengan kematian bapanya, seorang wanita mengalami kemurungan sehingga enggan bercakap dengan sesiapa termasuk anggota keluarga dan hanya bersembunyi bawah katil sejak 12 tahun lalu.


Ibu wanita berkenaan, Sarimah Majid, 45, berkata, masalah kemurungan itu menimpa anak keduanya, Suzana Salam, 29, sejak kematian suaminya, arwah Salam Abdullah, pada 1999 berikutan arwah amat rapat dan manja dengan Suzana.

Menurut ibu tunggal enam anak itu, disebabkan masalah berkenaan dia tidak dapat bekerja kerana terpaksa menjaga Suzana yang hanya terlantar sejak berusia 17 tahun sehingga tidak mampu menguruskan dirinya sendiri.


Katanya, mereka sekeluarga hanya bergantung kepada bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyara keluarga serta empat anak masih bersekolah. Sarimah berkata, dia sekeluarga bergilir-gilir membantu menguruskan keperluan Suzana kerana bimbang ditimpa penyakit lebih serius.

Dia pernah dirujuk kepada beberapa doktor di klinik kesihatan, namun Suzana disifatkan normal tanpa ada masalah mental atau fizikal.

“Saya tidak mampu membawanya ke klinik secara berterusan atau mendapat rawatan pakar perubatan kerana saya perlu memberi keutamaan untuk menyara keluarga terutama empat anak yang masih bersekolah.




“Oleh itu, saya merayu bantuan pihak yang pakar dengan rawatan mental atau perubatan Islam bagi mengubati Suzana kerana besar harapan saya sekeluarga untuk melihatnya pulih,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail, yang menyampaikan sumbangan hari raya kepada keluarga berkenaan kelmarin berkata, pihaknya akan berusaha mendapatkan khidmat pakar perubatan Islam untuk merawat Suzana.



“Penyakit ini perlu penjelasan perubatan lebih saintifik kerana saya mahu memohon mendapatkan elaun kebajikan khusus untuknya jika dia dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) atau pesakit kronik.

“Manakala, jika dia dikategorikan sebagai pesakit mental, dia perlu ditempatkan di pusat rawatan khusus, justeru ibunya mempunyai ruang masa untuk bekerja bagi menyara keluarga,” katanya.


mymetro

3 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...