Hari ini akan berlaku lagi untuk kali keduanya kejadian Fenomena Gerhana Bulan Penuh 10.12.2011 pada sekitar pukul 10.05 malam sehingga 10.57 malam, ianya berlangsung lebih kurang selama 48 minit. terdahulu pada pertama kali fenomena ini pada tahun ini berlaku iaitu pada 16.6.2011 pada pukul 1.25 pagi sehingga pukul 6.59 pagi.
Kita sebagai umat islam disunatkan untuk menunaikan solat sunat khusuf iaitu solat sunat gerhana bulan secara berjemaah bersama khutbah gerhana sempena gerhana bulan penuh seperti yang dijangka. Umat islam juga digalakkan mengerjakan ibadat tersebut berdasarkan satu hadis diriwayatkan Imam Muslim yang antara lain menegaskan supaya mendirikan solat dan berdoa apabila melihat gerhana.
Panduan Solat Sunah Gerhana Bulan (Solat Sunat Khusuf)
Niat: “Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat mengikut imam kerana Allah Ta’ala” – (Jika berimam) ataupun “Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat kerana Allah Ta’ala” – (Jika solat seorang diri)
Cara-cara
Dua (2) rakaat seperti sembahyang sunat yang lain. Cuma bezanya sebagaimana yang masyhur ia mempunyai 2 kali ruku’ dan 2 kali qiam di dalam satu rakaat. Ianya sunat ditunaikan secara berjemaah di Masjid/Surau dan boleh juga secara bersendirian.
Pelaksanaan
Solat gerhana matahari dan bulan ini boleh dilakukan dengan 3 cara : Bagi gerhana matahari, bacaan dalam solat dibaca dengan diperlahankan suara ; manakala gerhana bulan bacaan hendaklah dibaca dengan dikuatkan suara seperti mana-mana solat malam.
Cara Pertama: Cara yang paling ringkas. Iaitu hendaklah ditunaikan dengan dua rakaat sepertimana solat sunat zuhur atau mana-mana solat sunat.
Cara Kedua: Disebut dengan “ ال أدنى ” iaitu hendaklah ditunaikan dengan dua rakaat, dengan dua kali qiam dan dua ruku’ pada tiap-tiap satu rakaat, disertai dengan bacaan al-Fatihah dan surah dalam tiap-tiap qiam itu.
Bagi kita di Malaysia ini, cara yang kedua inilah yang paling mudah dilaksanakan. Selepas takbir, dibaca doa iftitah dan al-Fatihah. Selepas selesai al-Fatihah, dibaca surah (mana-mana surah yang mampu). Kemudian ruku’ dan bangkit semula (qiam kedua). Di dalam qiam kedua ini dibaca al-Fatihah dan juga surah. Kemudian ruku’ semula (dipanggil ruku’ kedua). Apabila bangkit I’tidal, terus sujud sebanyak dua kali. Apabila selesai sahaja dari sujud kedua dan bangkit barulah selesai rakaat yang pertama. Begitulah caranya bagi rakaat yang kedua.
Cara Ketiga: Cara yang paling sempurna. Caranya adalah seperti juga yang kedua akan tetapi dalam rakaat yang pertama dan qiam yang pertama hendaklah dibaca surah al-Baqarah ataupun mana-mana surah yang sama panjang dengannya. Di dalam rakaat yang pertama juga tetapi qiam yang kedua dibaca surah ali-Imran. Dalam rakaat yang kedua qiam yang pertama hendaklah dibaca surah al-Nisa’, dan dalam qiam yang kedua pada rakaat kedua dibaca surah al-Maaidah. Kemudian hendaklah bertasbih dalam ruku’ yang pertama dengan kadar bacaan 100 ayat, dalam ruku’ yang kedua 80 ayat, ruku’ ketiga 70 ayat dan ruku’ yang keempat 50 ayat.
Waktu
Waktu bagi solat gerhana matahari dan bulan ialah bermula dari ketika berlakunya gerhana sehinggalah selesai.
Marilah kita saling ingat mengingati antara satu sama lain. InsyaAllah.. Selamat beramal..
Sumber : Here
tq for d nice info (:
ReplyDelete