Thursday, 28 July 2011

Gosip : Julia Ziegler menjadi Ustazah?

PROFIL:
NAMA KOMERSIAL: Julia Ziegler
NAMA SEBENAR: Julia Bob Fauzi Ziegler
UMUR: 27 Tahun
TARIKH LAHIR: 21 MEI 1984
AKADEMIK: Jurusan Senibina, Savannah Georgia College of Art & Design
KERJAYA: Model dan pelakon
STATUS: Bujang

Mymetro 

BERDARAH kacukan Melayu-Jerman-Amerika Syarikat bukan bermaksud pelakon Julia Ziegler mengamalkan cara hidup seperti orang Barat.


Sebaliknya, Julia atau pemilik nama sebenar, Julia Bob Fauzi Ziegler, 27, mengakui dia dibesarkan dalam keluarga yang berpegang teguh pada agama Islam.


“Memang bapa saya. Bob Ziegler Abdullah, 60, keturunan Mat Salih, tapi ibu saya, Saminah Subari, 66, adalah wanita berdarah Melayu-Jawa.


“Selain membimbing saya dari segi agama, emak yang juga seorang ustazah juga mengajar saya mengaji sehingga khatam Al-Quran sejak kecil lagi,” kata anak ketiga dari empat beradik ini.


Justeru, tidak hairanlah, Julia juga tidak menolak untuk memegang watak sebagai Ustazah Halimah dalam drama bersiri sempena Ramadan berjudul Moreh untuk stesen TV Al-Hijrah.


“Saya juga meminta emak mengajar dari segi tajwid bacaan surah dalam Al-Quran bagi memastikan saya menjiwai watak ustazah itu sebaik mungkin.


“Maklumlah, selain bertudung, Halimah juga mengajar kanak-kanak membaca Muqadam dan Al-Quran dalam cerita ini.


“Saya juga tidak menolak bila ditawarkan karakter Muslimah atau bertudung kerana sebagai pelakon, saya perlu versatil,” katanya yang pernah beraksi dalam siri untuk Astro berjudul Tudung Ekspres.

Menyentuh mengenai Ramadan yang bakal tiba, Julia mengakui dia memang menanti kehadiran bulan yang mulia itu saban tahun.


“Ramadan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan. Saya memilih berehat pada Ramadan kerana ingin bersama keluarga sambil mengerjakan ibadah puasa
di Kuala Lumpur.


“Inilah masanya kita memperbanyakkan amalan yang baik dan dituntut agama.
Selain berpuasa, saya juga merebut peluang mengerjakan ibadah Tarawih bersama keluarga.

“Saya juga akan berbuka puasa dengan keluarga dan kawan-kawan rapat apabila ada kelapangan,” katanya.

Julia juga suka menghadiri majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan golongan kurang bernasib baik.


“Jika bukan wang ringgit, sekurang-kurangnya kehadiran artis turut menceriakan anak-anak yatim yang hadir sama ada untuk beramah mesra atau bergambar dengan mereka sebagai kenangan,” katanya.


Antara kenangan sukar dilupakan Julia pada Ramadan ialah menjalani ibadah puasa ketika menuntut di Amerika Syarikat pada 2002 dan 2003.


“Saya masih ingat lagi, betapa susahnya berpuasa di sana. Maklumlah, keadaan cuaca yang sejuk dan waktu solat Maghrib yang pendek. Selalunya, saya dan pelajar Islam yang lain berbuka puasa di masjid saja kerana ia lebih mudah untuk kita mengerjakan ibadah sekali gus,” katanya.


Julia ditemui ketika menjayakan majlis The Blue Kebaya Showcase anjuran The Weld Shopping Centre dan Rafflesia The Pearl Centre di ibu kota, baru-baru ini.

Pada majlis itu, Julia tampil bergaya dengan busana rekaan Ariff Shukor.

Berkongsi sambutan Aidilfitri pula, kata Julia, dia akan meraikannya bersama keluarga di Kampung Baru, Kuala Lumpur.


“Saya juga merancang untuk buat biskut raya sendiri tahun ini iaitu coklat chip, tat nanas, rempeyek dan lain-lain lagi. Kuih raya ini untuk dimakan sendiri bersama keluarga dan bukan untuk dijual.

“Selepas raya, saya juga sibuk membantu keluarga buat persiapan untuk majlis perkahwinan adik Mohd Jefrey Bob Jefrey. Ramai orang fikir saya yang nak kahwin sedangkan sebenarnya adik saya yang nak kahwin,” kata pemilik produksi Zioss Film Sdn Bhd ini.


Sebelum Moreh, Julia juga berlakon dalam telefilem arahan Osman Ali berjudul Sentuhan Isabella.


Dia juga melakonkan watak sebagai gadis bertudung dalam cerita yang turut dibintangi Zamarul Hisyam dan Diana Danielle. Dia turut berlakon dalam drama raya untuk stesen RTM berjudul Hero Desa.


Drama bersiri lakonannya, Hilang kini bersiaran di TV9. Julia bawa watak setiausaha yang jahat dalam cerita ini bergandingan dengan Rozita Che Wan dan Ayu Raudhah.


Selain berlakon sebagai penjual bunga buta dalam filem Toyol Nakal, Julia juga berlakon dalam filem Bisikan Puaka dan Ombak Rindu arahan Osman Ali.


Mungkin pengalaman pahit masa lalu banyak mengajar Julia lebih berhat-hati bila diajak berbicara soal kisah cintanya.


Selepas diasak dengan pertanyaan sama, akhirnya Julia mengakui dia masih belum ada pengganti lagi.


Ditanya, kriteria lelaki idamannya, Julia mengakui meminati lelaki Melayu untuk menjadi teman hidupnya.


“Maklumlah, bapa saya lelaki Mat Salih dan cukuplah darah kacukan yang ada dalam badan saya ini.


“Jika diberi pilihan, saya juga mencari lelaki yang ada kampung kerana saya sukakan suasana kampung yang aman damai.


“Apa yang penting, hubungan saya dan si dia direstui keluarga kedua-dua belah pihak,” katanya.

1 comment: