KUALA LUMPUR: Kekejaman jenayah buang bayi ibarat mencapai tahap kemuncak apabila seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui mati dengan kepala berkecai dipercayai akibat dicampak dari tingkat lima sebuah pangsapuri di Sentul Utara, di sini, jam 12 tengah malam kelmarin.
Bayi berkenaan dipercayai masih hidup sebelum dicampak. Dipercayai bayi itu dibawa seseorang ke tingkat lima pangsapuri berkenaan berdasarkan kesan darah yang ditemui di tangga bangunan itu.
Penduduk yang menemui mangsa, Ahmad Azhari, 34, berkata ketika itu dia baru meletakkan keretanya di tempat letak kenderaan di bawah pangsapuri berkenaan.
Menurutnya, ketika berjalan menuju rumahnya, dia melihat benda seakan-akan bayi terbaring di tepi tong sampah di atas jalan.
“Saya pada mulanya menyangka benda itu anak patung, namun pelik apabila melihat ada kesan darah. Saya kemudian berjumpa jiran yang berada berdekatan dan menyuruhnya memeriksa objek itu dan terkejut apabila mendapati ia mayat bayi,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Jirannya, Mokhtar Ahmad berkata, ketika melihat mayat bayi itu dari dekat, hatinya amat tersentuh kerana terdapat kecederaan teruk pada kepala bayi itu. Tak sangka ada manusia tergamak melakukan perbuatan kejam ini,” katanya yang melaporkan kejadian itu kepada polis.
Pengerusi Rukun Tetangga pangsapuri berkenaan, Ramli Abd Aziz, 43, berkata selama 17 tahun menetap di situ, ini kali pertama kejadian pembuangan bayi secara kejam berlaku.
“Geram apabila difikirkan mereka melakukan perbuatan kejam itu dan sayu rasanya ketika saya melihat darah bayi itu yang keluar dari kepalanya.
“Perasaan sedih kuat menyelubungi diri saya, tapi hendak menangis pun tidak berguna kerana kejadian sudah berlaku,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, berkata polis tidak menolak kemungkinan bayi itu dicampak dari tempat tinggi iaitu pangsapuri berhampiran berdasarkan kecederaan parah pada kepalanya.
Menurutnya, polis menerima maklumat mengenai penemuan mayat bayi itu pada kira-kira jam 12.30 tengah malam dan pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati bayi yang cukup sifat itu besar kemungkinan baru dilahirkan berikutan masih bertali pusat.
“Di sebelah mayat bayi itu turut ditemui beg plastik yang mengandungi uri,” katanya yang merayu orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu segera menghubungi polis.
Kes pembunuhan dan pembuangan bayi ini yang ketiga berlaku di Lembah Klang dalam seminggu. Harian Metro semalam melaporkan mengenai penemuan mayat seorang bayi tersangkut di celah batu di Sungai Gombak, berdekatan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, jam 9 pagi, kelmarin.
Bayi perempuan itu dibawa arus sungai berkenaan ke kawasan itu berikutan maklumat orang awam menyatakan ternampak kelibat ‘anak patung’ terapung di kawasan berdekatan Stesen LRT Titiwangsa.
Pada 27 Mei lalu pula seorang penuntut kolej swasta berusia awal 20-an nekad menyimpan mayat bayi lelaki cukup sifat dilahirkannya dalam almari di bilik sebuah rumah di Cheras di sini, selama dua hari.
Penuntut terbabit melahirkan bayinya sendirian dan bayi itu dipercayai mati sejurus dilahirkan sebelum menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di sini, kira-kira jam 12 tengah hari, selepas berasa bersalah dengan tindakannya.
Penuntut itu hadir ke balai polis sambil mendukung mayat bayinya yang dibalut tuala.
sumber :mymetro
Bodonyaaaaaaaaaaaa...
ReplyDeletenangis baca cite ni.. :((
Ya Allah , semoga pembalasan tiba segera kepada pelakunya... Aminn..
ReplyDelete