BESUT – Seorang pegawai polis trafik
berpangkat Inspektor yang bertugas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun
Kuala Besut, putus kaki kanan selepas motosikal polis trafik
ditunggangnya bergesel dengan sebuah kereta.
Kejadian itu menyebabkan mangsa
melambung 10 meter dalam kejadian di hadapan Sekolah Kebangsaan Alor
Peroi, Kuala Besut, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 4.40 petang itu,
mangsa, Farid Hasni Mamat, 33, yang bertugas di Bahagian Trafik Ibu
Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka sedang membuat rondaan bersama
seorang lagi pegawai, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman dari IPK
Pahang dengan menunggang motosikal.
Difahamkan ketika mangsa sedang membuat
rondaan, sebuah kereta jenis Proton Saga BLM yang dipercayai dipandu
laju dikatakan dari arah Jalan Semerak, di sini, tiba-tiba memotong
kenderaan lain di kawasan garisan berkembar.
Zainal yang berada di hadapan cuba
mengelak dan bergesel tetapi mangsa yang berada di belakang tidak sempat
mengelak lalu bertembung menyebabkan mangsa tercampak ke kiri jalan dan
melanggar tembok pagar sekolah.
Amat menyedihkan apabila kaki kanan
mangsa dijumpai di bawah runtuhan tembok sekolah berkenaan kira-kira
lima meter daripada mangsa.
“Susulan kejadian itu, mangsa dibawa ke
Hospital Besut untuk rawatan lanjut, sementara pemandu kereta terbabit,
seorang pelajar berusia 19 tahun ditahan untuk siasatan lanjut,” kata
sumber.
Lebih memilukan sejurus kejadian itu,
Farid Hasni yang masih sedar dikatakan sempat meluahkan perasaan
sedihnya kerana akan menjadi orang kurang upaya (OKU) selepas kehilangan
kaki.
Farid Hasni berasal dari Kuala Ibai,
Kuala Terengganu, turut sedih mengenangkan nasib anaknya yang masih
kecil, ditambah pula ketika ini umat Islam sedang menunaikan ibadah
puasa dan bakal menyambut Aidilfitri kira-kira tiga minggu lagi.
Sumber : Here