GEORGETOWN – Seorang pelajar kolej maut dikelar dengan pisau pemotong
kertas di tempat letak kereta di hadapan sebuah restoran di Krystal
Point, Bayan Baru, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa, R Navitharan, 24,
bersama teman wanitanya keluar dari sebuah pusat hiburan di situ selepas
meraikan hari lahir teman wanitanya itu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Hatta Md Zin berkata,
mangsa yang dalam proses latihan amali sebagai chef kemudian bertindak
menegur seorang lelaki yang cuba membunyikan enjin kenderaannya dan
berlaku pertengkaran selama lima minit antara mereka.
“Pergaduhan dikatakan sudah berlaku sewaktu mangsa dan suspek berada dalam premis berkenaan dan berlarutan sehingga di luar.
“Mangsa kemudiannya didatangi seorang lelaki yang juga rakan suspek
dengan menaiki sebuah kenderaan lalu bertindak mengelar mangsa
menggunakan senjata tajam sebelum melarikan diri.
“Bagaimanapun, kita sudah mengambil keterangan daripada teman wanita
mangsa dan percaya penahanan kedua-dua suspek akan dilakukan dalam
tempoh terdekat. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,”
katanya.
Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan parah akibat kesan torehan
di bahagian kepala, pergelangan tangan, perut, bahu, badan dan di
bahagian belakang sebelum disahkan meninggal dunia dua jam kemudian di
sebuah hospital swasta di Bayan Baru kira-kira jam 5.20 pagi.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten
Komisioner Zahruddin Abdullah berkata, seorang lelaki bernama B Dharma
Raj, 23, yang berasal dari Jalan Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak
diminta tampil untuk membantu siasatan.
“Selain lelaki itu, pemilik kenderaan jenis Proton Satria bernombor
plat ADW 6646 juga diminta tampil membantu polis menyiasat kes bunuh
ini. Orang ramai yang mempunyai maklumat turut diminta bekerjasama bagi
memudahkan siasatan dijalankan,” katanya.